Tuesday, June 8, 2010

Pandang Sisi Isteri Seorang Pejuang



Tersangat lama rasanya tak menulis dalam blog ini. Artikel terakhir sebelum ini ialah pada bulan Mac, hari ini sudah masuk bulan Jun. It means, sudah tiga bulan. Alhamdulillah, pada petang ini, Allah memberi kelapangan masa, tenaga dan idea untuk satu post dipublish dalam blog ni. InsyaAllah..Post kali ini saya petik dari artikel dalam blog http://eyamujahidah.blogspot.com/2010/04/pandang-sisi-isteri-seorang-pejuang.html. Saya sangat tertarik dengan tajuk artikel ini sehinggakan terus membacanya sehingga noktah yang terakhir. Begitu tulus dan mulusnya hati seorang isteri yang begitu tabah menghadapi dugaan dan cabaran sebagai isteri seorang pejuang. Ini membawa saya mengkoreksi diri sendiri… sejauhmana keikhlasan saya liLlahiTa'ala sebagai seorang isteri. Ini juga mengingatkan saya kisah Siti Muti'ah yang menjadi wanita pertama masuk syurga hanya kerana ketaatannya kepada suaminya. Artikel ini juga sedikit sebanyak boleh dijadikan pedoman kepada ibu dan ayah di luar sana dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah yang sebenar-benarnya.

Pada kali ini, ingin saya kongsikan bersama sahabat2 bagaimana kehidupan Ummu Muhammad (zaujah kepada As-Syeikh Sa'id Hawwa) sepanjang bergelar isteri kepada seorang pejuang..

Artikel ini diterbitkan hasil pertemuan sekumpulan Muslimat Malaysia bersama Ummu Muhammad pada tahun 2000.

BAGAIMANAKAH KEHIDUPAN SYEIKH SA'ID HAWWA SECARA TERPERINCI?

Syeikh Rahimahullah amat sibuk dengan urusan dakwah sejak sebelum berkahwin lagi.Oleh itu,selepas berkahwin beliau berusaha meluangkan masanya untuk bersama anak-anaknya dan berbincang dalam pelbagai isu serta mendidik mereka dalam urusan agama dan kemasyarakatan.
Anak-anaknya masih kecil ketika beliau dipenjarakan selama 5 tahun pada 1973 hingga 1978.Lalu saya memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan ketika itu dikurniakan 4 orang anak,3 lelaki dan seorang perempuan-Muhammad,Ahmad,Mu'az,dan Fathimah,Alhamdulillah.

Sesungguhnya Allah mengurniakan bantuan kepada saya sehingga mampu memberikan didikan agama buat anak-anak.Justeru,apabila beliau keluar dari penjara maka beliau mendapati anak-anaknya telah membesar di bawah tarbiyah yang baik.

Setiap pagi,beliau akan meluangkan masa bersama anak2 dan kadangkala sekitar pukul 9 ke 10 malam.Manakala waktu selebihnya adalah untuk urusan dakwah,menulis dan mengarang.Saya akan membantunya dalam beberapa aspek: Jika dia mengarang maka saya akan menaipkan untuknya dan Alhamdulillah kami mampu menghasilkan beberapa kitab.Beliau juga tidak pernah mengabaikan aspek tarbiyah anak-anaknya bahkan memperuntukkan satu hari setiap minggu untuk berkelah dan sepanjang perkelahan tersebut beliau akan mengadakan perbincangan dan sebagainya dengan anak-anak.Kebiasaannya kami berkelah pada hari Khamis manakala hari Jumaat kami akan berada di rumah.

Hakikatnya sesiapa yang mengatur waktunya , pasti dia akan mendapat faedah yang banyak dari aturan tersebut.


BAGAIMANA PERASAAN UMMU MUHAMMAD KETIKA SYEIKH RAHIMAHULLAH DITANGKAP DAN DIPENJARAKAN?

Ketika itu,harapan dan pergantungan saya hanyalah pada Allah dan saya tidak sekalipun hilang kawalan diri. Harapan saya agar beliau segera keluar dari penjara dan boleh menyambung semula kerja-kerja dakwah beliau. Saya tetap meneruskan pendidikan terhadap anak-anak sebagaimana biasa dan menggunakan pelbagai wasilah pendidikan seperti kaset-kaset Al-Quran dan kisah-kisah Agama.

Mereka mula menghafaz Al-Quran ketika berusia 5 tahun dan kini,tiga daripada mereka telah pun Hafiz AL-Quran malah mempraktikkan isi kandungannya,Alhamdulillah.Selepas 2 bulan beliau keluar dari penjara ,adiknya Mahmud , seorang pemuda soleh, melihat beliau di dalam mimpi dibunuh dan mati syahid.

BAGAIMANAKAH BENTUK KEHIDUPAN UMMU MUHAMMAD DAN SYEIKH RAHIMAHULLAH SEBAGAI PASANGAN SUAMI ISTERI?

Kami sama2 memanfaatkan masa dan menunaikan haknya dan tidak wujud sebarang pembaziran.

Contohnya,jika kamu keletihan,jangan kamu berehat terus,sebaliknya lakukan sesuatu yang menyenangkan dan tidak meletihkan seperti sambil kamu duduk, kamu menulis sesuatu yang berfaedah. Atau letakkan anak kamu di sisi dan kamu ajari mereka sesuatu.Jika dikunjungi tetamu,segerakan penyediaan hidangan mereka. Ataupun jika kamu dikunjungi tetamu secara mengejut, bersedia menyambut mereka. Kesimpulannya, kamu perlu berusaha memanfaatkan waktu.

Kami akan membaca Al-Quran selepas solat Subuh dan kemudian meluangkan masa untuk penulisan selama 2 jam tetapi ini kebiasaannya pada waktu cuti. Jika waktu persekolahan, kami akan menulis sekembalinya dari sekolah jika tiada tetamu yang berkunjung. Jika beliau bekerja sendirian, sibuk dengan membaca kitab-kitab lama, saya akan menjalankan kerja-kerja asas rumah dan mengajar anak-anak.Beliau sentiasa meluangkan masa menziarahi kaum kerabatnya pada hari Jumaat. Inilah rutin kami semenjak kami mendirikan rumahtangga.

Pernah sekali saya mimpikan beliau ketika beliau masih dalam bilik kecil dan sempit di dalam penjara. Dalam mimpi itu seolah-olah saya berdiri di hadapan bilik kurungan tersebut dan pintunya terbuka. Saya melihat cahaya memancar dari bilik tersebut dan timbul ketenangan di hati saya bahawa Al-Quran yang dihafaznya menjadi pembantunya. Beliau dikurung di situ selama 9 bulan dan selama tempoh itu beliau tekun mengulangkaji al-Quran. Tidak berapa lama selepas itu beliau dikeluarkan ke penjara yang lebih besar yang dihuni oleh orang lain.
Selepas 5 tahun beliau dibebaskan dan ramai yang tidak percayakan peristiwa tersebut melainkan setelah melihatnya dengan mata mereka sendiri. Mereka semua meraikan pembebasan Syeikh Rahimahullah di rumah keluarganya.

BAGAIMANAKAH AS-SYEIKH MENGENALI UMMU MUHAMMAD?

Awalnya,saya hanya mengetahuinya ketika di tahun akhir di universiti sedangkan dia ketika itu telah 2 tahun meninggalkan universiti. Saya tidak mengenalinya langsung namun mengetahuinya dari sepupu sebelah ibu saya. Sebelum kami berkahwin, berlaku pelbagai penentangan di Syria, kemudian demonstrasi Hammah, masjid-masjid dibakar dan keadaan ini memaksa beliau berlindung di Iraq selama 2 bulan. Beberapa individu tertentu yang baik hati telah membantunya sehingga diampuni dan dibolehkan memasuki Syria kembali.Sekembalinya dari Iraq, kami terus mendirikan rumahtangga dan menetap di kampungnya, Hammah selama 2 tahun. Kemudian kami ke Saudi selama 5 tahun dan kembali semula ke Syria dan ketika itulah beliau dipenjarakan.

Beliau sering menawarkan saya menemaninya dalam musafir namun saya lebih selesa untuk bersama anak-anak dan meneruskan tanggungjawab saya mendidik mereka. Waktu keluar untuk urusan dakwahnya sering tidak menentu namun saya akan selalu berpesan setiap kali beliau ingin keluar.." ALLAH MA'AK" (ALLAH BERSAMA KAMU) dan apabila tetamu datang ,saya akan ucapkan "Ahlan wa sahlan."

Jika dikunjungi keluarganya, saya akan meraikan dan melayan mereka dengan sebaiknya. Antara sikap beliau yang amat saya fahami adalah beliau inginkan agar ibu bapanya dilayan dengan baik. Begitu juga dengan tetamunya. Ibunya masih ada lagi dan kami sering menziarahinya. Bapanya telah pulang ke rahmatullah 4 bulan lebih selepas Syeikh Rahimahullah meninggal.

APAKAH ATURAN PENDIDIKAN UNTUK ANAK-ANAK UMMU MUHAMMAD?

Pertamanya, suruh anak-anak mengerjakan dan menyelesaikan urusan agama bermula dari aspek Tauhid dan Ibadat.
Ajari mereka Al-Quran dan mulakan dengan Surah Al-Ikhlas sehingga mereka mampu memahami keesaan Allah. Tekankan tentang aspek ibadah seperti solat,puasa, zakat dan haji. Pada masa yang sama aspek akhlak dan pergaulan dididik dengan sebaiknya kerana semua perkara ini perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil.

Tarbiyah dalam aspek ibadah dan agama bila dipupuk sejak kecil, maka bila mereka mencapai usia mukallaf maka mereka tidak akan rasa susah dan tertekan kerana semua perkara tersebut telah menjadi rutin dan resam kehidupan mereka. Pendidikan agama buat anak-anak akan memberi impak pada sudut Akhlak mereka,oleh itu wajib bagi ibu bapa mendidik mereka atas dasar perintah dan suruhan Allah.

Jika sudut Agama pada anak-anak diabaikan ketika mereka masih kecil, maka proses didikan tersebut akan sukar terutamanya apabila mereka mencapai usia 10 tahun atau lebih,dan masalah ini lebih ketara kepada anak-anak perempuan. Komitmen anak-anak dalam berpakaian,menutup aurat,solat dan puasa akan menjadi sukar ketika itu malah penentangan sering berlaku disebabkan tiadanya latihan di peringkat awal.

Suasana didikan yang saya terima dan ketika bersama Syeikh Rahimahullah adalah sama,sama ada dari segi pakaian, kerja dakwah , penulisan, dan menyambut tetamu. Lantaran semuanya atas dasar dakwah dan Islam. Niat kami sentiasa , InsyaAllah adalah kerana Allah dan untuk Islam serta atas dasar menegakkan kalimah Allah Ta'ala.

Tuesday, March 2, 2010

Hati Adalah Radar Yang Ajaib


Pernahkah anda rasa berdebar-debar, gelisah, tidak tenteram, tidak sedap hati dan sebagainya?
Semua fenomena itu sebenarnya adalah isyarat yang dipancarkan oleh hati seseorang bahawa ada sesuatu yang menjadi ancaman kepada diri manusia dan ianya dapat dikesan oleh hati.

Sabda Rasullulah s.a.w: 'Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan adalah hati.'

Hati adalah ibarat raja bagi tubuh badan manusia. Di sinilah tersimpan tenaga yang hebat seperti pemikiran dan tenaga emosi. Jika hati seseorang itu diisi dengan sifat mahmudah(baik) maka hebatlah seluruh anggota badannya dan akan melahirkan seseorang yang berakhlak mulia. Jika hati telah dikotori dengan sifat mazmumah(keji) maka rosaklah peribadi dan akhlak seseorang itu.

Hati adalah radar yang hebat untuk mengesan perbuatan manusia, sama ada mengesan perkara yang baik atau buruk. Apabila kita melakukan perbuatan yang berdosa, kita akan mudah untuk rasa berdebar-debar dan cemas.Seterusnya ia akan menyebabkan kita rasa gelisah dan tertekan.

Isyarat ini sebenarnya bertujuan untuk menyuruh supaya seseorang untuk kembali pada Allah. Apabila kita memohon keampunan dan bertaubat maka hati kita akan kembali tenang.Hati yang berpenyakit dari segi batin perlu dirawat seberapa segera kerana ianya bukan sahaja memberikan kemudaratan pada ketenteraman jiwa malah boleh menyebabkan penyakit pada anggota badan.

Bagaimana hati mendapat tenaga dan kekuatan?

Makanan hati adalah taqwa kepada Allah.Zikir, membaca Al-Quran, menuntut ilmu agama, memberi zakat, bersedekah dan berbaik sangka adalah makanan hati yang enak dan lazat. Jika hati tidak diberi makan, maka seseorang itu akan menghidap penyakit batin dan zahir.Dengan cara memberikan makanan pada hati,barulah seseorang berhak untuk memperolehi kebahagiaan.

Apakah cara untuk merawat hati yang berpenyakit dan menghidupkan hati yang mati?


Caranya ialah dengan bertaubat.Meminta keampunan, mengingati kematian dan sentiasa melakukan amal kebajikan.Ini akan memulihkan dan menghidupkan semula hati.


Hanya dengan mengingati Allah seperti dalam firman Allah;

'(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.' (Ar-Ra'd :28)

Apabila hati kita mendustakan ayat-ayat Allah maka termasuklah kita dalam kategori hati yang berpenyakit sepertimana firmanNya;

'Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.' (Al-Baqarah:10)

Oleh itu,apabila hati kita mengesan sesuatu yang tidak menyenangkan maka marilah kita segera kembali kepada Allah sebelum hati kita menjadi keras.Ingatlah pesananNya yang bermaksud:

'Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.'(Al-Hadid:16)


 

Dipetik daripada www.iluvislam.com

Monday, March 1, 2010

SENTUHAN CINTA TULUS RASULULLAH SAW

Allahumma Sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaih....

Sedih sungguh melihat klip video kat bawah nie... Tersentuh jiwa ini...

Sempena sambutan maulidur Rasul ini, ingin saya mengajak diri saya dan diri anda semua (para pembaca) agar kita kembali memperkuatkan ingatan kita kepada Nabi junjungan besar kita Nabi Muhammad saw. Perjuangan Rasulullah..Pengorbanannya..cinta dan kasihnya baginda kepada kita semestinya dapat mendorong kita untuk lebih bersungguh-sungguh dalam beramal...

Tolonglah klik klip video di bawah ini untuk sama-sama kita menghayati kisah cinta yang tulus lagi mulus daripada seorang Rasul kepada umatnya. Semoga Allah swt sentiasa memudahkan jalan bagi kita untuk mencapai keredhaanNya dan seterusnya memberi kita peluang mendapat syafaat nabi yang menjadi idaman setiap hamba Allah yang beriman...InsyaAllah...






Maka...



MULAI SEKARANG...


Sanggup berjuang mempertahankan ISLAM...

AL-QURAN dan AS-SUNNAH menjadi ikutan dalam segenap urusan kehidupan...






Kerana...
KAMI JUGA MENCINTAIMU YA RASULULLAH SAW...






Wednesday, January 27, 2010

PEMIMPIN YANG SEBENAR


Sedar tak sedar..telah pun 27 hari kita berada dalam tahun 2010. Bagi yang telah memulakan langkah pertama untuk merealisasikan azamnya...tahniah! Semoga segala urusan dimudahkan, dicekalkan hati menghadapi segala cabaran. Tetapkan niat yang ikhlas keranaNya..moga apa yang diazamkan memberi manfaat dunia dan akhirat. Bagi yang belum mengorak langkah, usah lagi menghitung hari...Ayuh! kita mulakan..mudah-mudahan tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya..
Apa yang ingin saya kongsikan bukanlah cerita tentang azam. Tetapi, kisah yang mengajar tentang ciri-ciri pemimpin yang sebenar. Tidak kiralah dia seorang ibu yang memimpin anak-anaknya atau mungkin seorang suami yang memimpin isterinya atau seorang guru yang memimpin murid-muridnya...mahupun seorang pengetua/guru besar yang menjadi pemimpin di sebuah sekolah. Apatah lagi pemimpin sebuah negara...rakyatnya memerlukan pemimpin yang benar-benar memimpin dan terpimpin.
Kisah yang saya paparkan ini merupakan petikan daripada artikel dalam Majalah Solusi isu no.15 yang berjudul Pemimpin yang Sebenar. Artikel pendek tersebut mengisahkan seorang wartawan yang diberi peluang makan malam bersama dua orang calon perdana menteri, secara berasingan. Dia diminta untuk menilai siapakah yang lebih layak menjadi perdana menteri (PM) di antara dua calon itu.
Pada hari pertama, wartawan tersebut pun makan bersama calon PM yang pertama. Mereka berbual pelbagai topik dan isu. Perbualan itu sungguh hebat, berlangsung lebih 2 jam, penuh rancak dan menarik. Seusainya, beliau ditanya, "Bagaimana dengan makan malam bersama calon PM itu?
Tanpa teragak-agak, beliau menjawab: "Saya mendapat banyak input yang bermanfaat. Tidak syak lagi. Dialah manusia yang paling bijak dan berkemampuan."
Esoknya, giliran makan malam bersama calon PM kedua pula. Mereka juga berbual pelbagai isu dan perkara. Perbualan itu sungguh mesra. Ia juga berlangsung lebih 2 jam. Sebaik keluar daripada majlis tersebut, dia ditanya:"Bagaimana makan malam bersama calon PM yang kedua ini?"
Tanpa berfikir panjang dia menjawab:"Sepanjang bersamanya, saya merasakan sayalah orang yang paling bijak dan paling berkemampuan!"
"Jadi, siapakah yang saudara rasa paling layak untuk menjadi perdana menteri?"
"Calon kedua."
"Rasanya, saudara rasa calon pertama lebih bijak?"
"Bukan itu kriteria utama menjadi seorang pemimpin," kata wartawan itu.
"Kalau bukan itu, habis apa?"
"Seorang pemimpin mesti mampu membuat orang di bawah pimpinannya rasa bijak. Bukan hanya membuatkan pengikutnya kagum dengan kebijaksanaannya."

Moral of the story:
1. Pemimpin mesti berfikir tentang kemaslahatan pengikutnya. Bukan berfikir untuk kepentingan dirinya.
2. Kebijaksanaan sahaja tidak cukup untuk memimpin dengan baik. Sikap amanah dan prihatin kerap kali mengatasi kebijaksanaan dalam menawan hati pengikut.

Dipetik dari : Majalah Solusi. Isu NO.15

Sunday, January 24, 2010

IKRAR JIWA YANG TENANG

Lama rasanya tak 'blogging'. Banyak sangat kerja yang perlu dibereskan hingga tak 'terpeduli' dengan blog ni. Apapun, alhamdulillah..segala ujian dan cabaran dilalui dengan redha dan sabar..dan masih diberi peluang dan kekuatan untuk kembali menulis dalam blog yang tak seberapanya ini. Mudah-mudahan menjadi medan perkongsian ilmu yang membawa manafaat..kalau tidak banyak pun, it's better than nothing ;-)


Kali ini, terdetik rasa untuk berbicara soal hati...bukan HATI BUSUK atau HATI GELISAH. Tetapi, HATI YANG TENANG. Inilah sumber kebahagiaan. Bukan harta atau pangkat yang membuat kita bahagia...tetapi hati yang tenang. Hakikat hati yang tenang, dia tidak melatah bila menghadapi masalah, tidak mudah marah bila dicabar atau tercabar dan akan terpancar sinar ketenangan pada wajahnya. Ikrar ini ditulis untuk mengingatkan diri dan insan-insan lain yang sering terleka dalam menyelusuri arus kehidupan ini.

HATI & JIWA INI MENJADI TENANG…



Andai aku miskin..aku redha kerana aku yakin Allah yang memberi aku rezeki. Namun, aku juga perlu yakin Allah tidak tutup pintu rezeki untukku. Aku boleh berusaha sekuat mana yang kumahu dan kumampu untuk merubah nasibku. Agar aku bisa membantu saudara-saudara seaqidahku meneruskan kehidupan dan aku juga bisa laburkan rezekiku pada jalan-jalan perjuangan fisabilillah untuk perniagaan yang paling menguntungkan.

Andai aku sakit…aku redha kerana aku yakin Allah yang turunkan penyakit ini kepadaku. Allah jua la yang akan menyembuhkannya. Tugasku hanyalah sabar dan berusaha mencari penawar untuk menyembuhkan penyakitku agar aku bisa melaksanakan ibadahku dengan sempurna dan agar aku sempat menambah bekalanku untuk 'bertemu' Allah kelak.

Andai aku sihat…aku bersyukur dan berjaga sentiasa untuk mencegah datangnya penyakit. Badan yang sihat lebih sempurna ibadah dan amalannya. Untuk itu, segala amalan perbuatan ataupun pemakanan yang membawa penyakit mesti aku tinggalkan.

Andai aku ditimpa musibah…aku tidak mudah kalut, mencari dan menuding salah pada orang lain. Tetapi, aku segera ingat kepada Allah yang takdirnya terselit seribu hikmah. Aku terus mencari jalan penyelesaiannya dengan idea, ilham dan segala inspirasi yang juga daripada Allah semata-mata.

Andai aku mencintai manusia…aku tidak mudah hanyut kerana aku yakin cinta hakiki hanya kepadaNya. Aku juga yakin rasa cinta ini adalah anugerah Allah untuk lebih mencintaiNya dan dekat kepadaNya. Untuk itu, aku mesti jaga adab dan akhlak agar aku tidak jauh dariNya. Apalah erti aku hidup andai Allah tinggalkan aku. Manusia tidak bisa memberi aku bahagia…hanya Allah yang membahagiakan aku. Cintaku pada manusia untuk kusyukuri kerana Allah beri cinta untuk aku menjadi lebih baik. Biarlah cintaku pada manusia menguatkan lagi cintaku pada Allah…

Andai aku tidak dapat apa yang aku ingini…aku tidak pernah kesal kerana aku yakin Allah Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu. Kuakui kelemahanku di depan Allah untuk mendidik jiwaku agar redha atas segala ketentuanNya. Apa yang aku rasa tidak elok..inilah yang terbaik untukku. Atau mungkin Allah tangguh ke suatu masa yang lebih sesuai untuk memakbulkan keinginanku.

Andai aku dapat apa yang kumahu…kupanjatkan syukur pada Allah dan sentiasa aku mengingatkan diriku agar aku tidak lalai dengan nikmat yang Allah berikan. Kutinggikan rasa kehambaanku untuk terus menggapai cintaNya lalu kukecapi kehidupan yang penuh ketenangan dan berjalan di atas keredhaanNya.

Kehidupan ini menjadi mudah apabila keyakinan disandarkan hanya pada Allah kerana hidup hanya untuk Allah dan sememangnya untukNya. Kita datang daripada Allah dan kepadaNya jua kita akan kembali….

Friday, November 13, 2009

ZINA : RENDAHNYA NILAI HARGA DIRI

Memelihara nasab (keturunan) merupakan antara lima perkara penting yang wajib dijaga dalam Islam. Oleh sebab itu, Allah swt begitu tegas melarang hamba-hambaNya melakukan penzinaan. Hal ini kerana, zina merupakan perbuatan keji yang boleh merosakkan maruah, keturunan dan seterusnya meruntuhkan institusi sesebuah keluarga dan komuniti manusia.

Zina itu secara umum dan menyeluruh bolehlah ditakrifkan sebagai :

"Persetubuhan haram yang sengaja antara lelaki dan perempuan tanpa sebarang syubhah"

Allah berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 32 :

Maksudnya:Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).

Allah swt Maha Bijaksana, "janganlah kamu menghampiri zina" merupakan ayat yang paling tepat dalam memelihara hubungan antara lelaki dan perempuan. Menurut tafsir kebanyakan ulama' berdasarkan ayat di atas, bukan zina sahaja yang HARAM, segala perkara yang membawa ke arah zina juga HARAM.
Ada antaranya yang menjawab :
“ Ala, kami sembang je, studi sama-sama, bukan nak sentuh-sentuh, bukan nak cium-cium”

Dalam semua perkara yang terjadi dalam dunia ini, tidak ada yang tiba-tiba terus berlaku. Pokok, tidak akan terus jadi pokok yang tinggi, bercabang dan terus berbunga. Kalau kita lihat pula kejadian manusia itu sendiri, bukannya lahir sahaja terus jadi dewasa...kena bermula dengan bayi kecil, kanak-kanak, remaja dan seterusnya barulah menjadi dewasa.

Analogi ini cuba dibandingkan dengan ZINA. Seorang lelaki atau perempuan yang baru berkenalan..bercinta..kalau terus diajak berzina..confirm dia tolak. Berzina ada gerak langkahnya. Boleh bermula dengan seringan-ringan chatting...kemudian, sedetik pertemuan..selepas itu, sehalus-halus sentuhan...yang akhirnya akan membawa kepada 'kejayaan besar' bagi syaitan durjana iaitu bila kedua-dua anak Adam melakukan ZINA. Wa'iyazubillah.

bertentang mata > tegur menegur > berbual mesra > bersms dan bergayut > ajak keluar shopping > berdua-duaan di tempat awam > berdua-duaan dalam kereta > bersentuhan > berciuman > BERZINA.

Begitulah liciknya syaitan dalam menghasut manusia yang sememangnya janji yang tidak akan syaitan mungkiri, iaitu berusaha menjadikan anak Adam bersama dengannya di neraka. Dalam hal zina, perempuan tidak akan rasa dirinya 'murah'..tapi, dia akan rasa dia 'disayangi'. Lelaki pula akan rasa dirinya 'hebat'. Astaghfirullahal'azhim...

Sedangkan, perempuan sebegini bolehlah diumpamakan seperti barangan jualan murah yang dilonggok di pasaraya-pasaraya. Sesiapa sahaja boleh sentuh..pegang..periksa..ramas...tauke kedai tidak akan marah..sebab barang tu memang murah. Cuba kita lihat barang yang mahal-mahal..rantai emas berlian umpamanya...tauke kedai akan simpan dalam kaca yang berkunci..orang boleh lihat saja, tak boleh pegang. Kalau tak ada duit nak beli, nak tengok pun rasa malu. kalau ada duit pula, nak tengok kena minta izin dulu... Begitulah ibaratnya barang murah dan mahal dengan perempuan yang rendah nilai harga dirinya...berbanding perempuan yang tinggi nilai harga dirinya.

CHATTING >>>>>> DATING >>>>>> BUNTING

Sesiapa yang terasa terhina dengan perbandingan ini...Ingatlah! Allah lebih dahulu melaknat mereka yang melakukan zina terkutuk ini dan segala perkara yang menghampirinya.. Tetapi, jika mereka bertaubat..Allah la yang lebih dahulu akan memuliakan mereka.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah..
Mari kita kembali kepada Allah...Sama-sama kita ingat tujuan asal kenapa Allah izinkan kita menapak di bumiNya. JANGAN SOMBONG DENGAN ALLAH. Malulah dengan Allah yang memberi kita tangan..tapi kita gunakan tangan untuk melakukan maksiat... Allah beri kita kaki.. tapi langkah kita pula ke tempat-tempat maksiat.. Apa jadi jika Allah ambil balik semua yang Allah pinjamkan? Barulah kita, tidak henti-henti ber 'kalaulah.... '. Bertaubatlah sebelum terlambat. Allah sentiasa melebarkan rahmatNya untuk menerima taubat di waktu malam dan siang. Carilah kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan itu letaknya pada hati yang bersih. Sama-sama berusaha 'membersihkan' hati kita agar hati kita tidak mati. InsyaAllah..

Saturday, November 7, 2009

HELAH MENCULIK KANAK-KANAK DI CARREFOUR JB

Saya terkejut berbaur kerisauan sedikit bila membaca satu emel yang dikirim oleh seorang sahabat. Kisah ini adalah kisah benar yang wajar untuk kita kongsi dan sebar. Mesej ini dikirim oleh Saudara Mohd Rizzwan Mohmad daripada Kementerian Wilayah Persekutuan. Harap cerita ini kita jadikan iktibar terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil...

Message: Jika anda tiada anak kecil pun, tolong sebarkan maklumat ini kepada sesiapa sahaja. Kita tidak tahu entah siapa yang dapat diselamatkan dengan menghantar e-mel ini. Tolong beri sedikit masa dan hantar kepada kawan yang ada anak-anak dan cucu-cucu. Terima Kasih ..

Kita mahu berkongsi apa yang berlaku hari ini semasa berbelanja di Carrefour JB. Seorang ibu sedang membongkok untuk membelek-belek daging, dan apabila berpusing mendapati anak perempuannya berusia 4 tahun telah hilang. Saya berdiri betul-betul bersebelahan dengan si ibu, sementara si ibu tadi terus memanggil-manggil anak perempuannya tapi hampa.

Saya meminta seorang pekerja lelaki Carrefour untuk umumkan kehilangan tersebut melalui sistem pembesar suara. Beliau terus melakukannya apabila diminta berbuat demikian, dan kemudian terus meninggalkan saya untuk membuat panggilan telefon. Panggilan itu untuk memaklumkan supaya semua pintu dan pagar dikunci menggunakan kata kod atau seumpamanya. Jadi mereka telah mengunci semua pintu dengan serta-merta. Hanya 3 minit diperlukan untuk melakukannya selepas diminta.
Mereka menjumpai kanak-kanak perempuan itu 5 minit kemudian di dalam bilik air dalam keadaan masih khayal. Kepala budak perempuan itu sudah separuh dicukur, dan hanya berpakaian dalam. Ada sebuah beg mengandungi baju, pisau cukur, dan rambut palsu terletak di lantai bersebelahannya untuk menukar wajahnya. Siapa pun yang melakukannya iaitu yang menculik lalu membawa budak perempuan ini ke dalam bilik air, cukur rambut dan tukar pakaiannya boleh dilakukan kurang daripada 10 minit. Ini buat saya menggigil tak sudah-sudah. Tolong perhatikan anak-anak anda apabila berada di tempat luas di mana adalah senang untuk kita terpisah dengan mereka seperti di gedung beli-belah. Hanya beberapa minit diperlukan untuk melakukan semuanya. 5 minit lagi maka anak perempuan itu tentu sudah berjaya dibawa keluar. Saya masih amat terkejut ada manusia yang sanggup melakukannya, apa lagi dalam masa hanya beberapa minit. Masa anak-anak kecil boleh berlari tanpa hirau telah berlalu. Budak perempuan itu kini selamat. Syukur ke hadrat Allah SWT, dan tahniah kepada pekerja Carrefour yang bertindak pantas. SEBARKAN BERITA INI SELUAS-LUASNYA SUPAYA PERINGATAN DAPAT DIBUAT BAHAWA ADA MANUSIA GILA LAGI GANAS DI KALANGAN KITA SEMUA !

P/s Astaghfirullahalazhim......manusia jenis apa sanggup buat macam ni. Bila tidak ada lagi ketakutan kepada Allah dan hari pembalasan...beginilah jadinya, sehingga ada yang rela meletakkan dirinya lebih rendah daripada haiwan. Orang-orang yang samseng ni lupa pada Allah yang lebih hebat dan boleh berbuat apa untuk membalas segala perlakuan buruk manusia yang melanggari undang-undang Allah swt.

KITA WAJIB KEMBALI KEPADA ALLAH... PERUNDANGAN CIPTAAN MANUSIA TERBUKTI MEMBAWA LEBIH KEHANCURAN DAN KEBINASAAN...DAULATKAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH DI TEMPAT TERATAS... TIDAK ADA UNDANG-UNDANG SELAIN UNDANG-UNDANG ALLAH....MELAINKAN IANYA HANYALAH HAWA NAFSU SEMATA-MATA...

Ya Allah ya Rabbi..lindungilah anak-anakku. Jauhilah mereka daripada segala mara bahaya..Tidak ada lah daya upaya dan kekuatan kami..melainkan hanya Kau yang Maha Berkuasa ya Allah...Amin ya Rabbal 'Alamin...

Related Posts with Thumbnails

Click 'PLAY' for listening very nice Al-Quran recitations

Halwa Telinga Penyejuk Jiwa


width="228"height="128"name="FlashContent"allowscriptaccess="never" type="application/x-shockwave-flash" pluginspage="http://www.macromedia.com/go/getflashplayer">
Template by: Abdul Munir
Website: 99computercity